Ketua perlu berprinsip dan berani buat keputusan

Oleh : Saidah Hairan

SIAPA tidak kenal dengan Ustazah Jamilah Ibrahim. Tokoh Muslimat yang dianugerahkan oleh Dewan Muslimat PAS Pusat dalam Muktamar kali ke-50 sempena sambutan Jubli Perak, di dewan Putik, Kelantan.

Sekali pandang agak takut untuk mendekatinya. Apabila sudah mengenalinya, beliau seorang tokoh Muslimat yang gemar bercerita dan tidak kedekut mencurahkan ilmu serta pengalaman berpolitik.

Ustazah Jamilah merupakan pimpinan Muslimat yang paling lama menerajui kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat. Berprinsip ditambah dengan ketegasan ketika diberi amanah menyebabkan beliau diberi kepercayaan penuh oleh perwakilan untuk terus menerajui Muslimat selama sembilan penggal iaitu 18 tahun.

Melihat pada sokongan Melayu, Cina dan India kepada kerajaan Pakatan Rakyat, beliau mengingatkan DMPP sudah tidak ada masa untuk berehat.

Sebaliknya kata beliau pimpinan Muslimat mesti banyak melakukan program turun ke kawasan-kawasan Melayu.

Katanya Muslimat perlu mendekati pengundi Melayu dengan jalinan tenaga bersepadu DAP serta KeADILan untuk menembusi pengundi di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor supaya menyokong Pakatan Rakyat.

“Bagi negeri yang sudah menang, sikap mesra rakyat perlu ditingkatkan agar kita diyakini. Kerja-kerja kebajikan dan keadilan dalam membela hak rakyat dan membenteras kezaliman perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya dengan wajah tenang.

Walaupun sudah tidak menerajui kepimpinan Dewan Muslimat namun beliau bersedia untuk turut memberi sumbangan, pandangan serta tenaga.

Kelantangan dan keberanian menyuarakan pandangan serta kritikan kepada pimpinan disamping membawa suara hati Muslimat, beliau terus diberi kepercayaan menjadi AJK tertinggi International Muslim Women Union (IMWU) cawangan Malaysia dari tahun 1997 hingga 2010.

NGO tersebut dikendalikan oleh isteri kepada Almarhum Dr Fathi Yakan, Dr Muna Al-Hadat.

Ustazah Jamilah lebih mesra dengan panggilan `Mak Lah’ baru saja kembali dari Lubnan menghadiri persidangan IMWU yang dihadiri wakil dari 36 buah negara.

Menurut beliau, antara hala tuju IMWU membuat jalinan silaturahim dengan wanita Islam sedunia. Di samping melaksanakan kerja-kerja kebajikan serta membantu menyelesaikan masalah wanita dan ummah.

“IMWU meletakkan asas akidah, akhlak dan takwa kepada generasi muda sebagai pengganti. Ia juga menekankan peningkatan amal ibadah diri. Setiap tahun ada pertemuan dan tiga tahun sekali ada pemilihan jawatan,” katanya.

Pertemuan selama dua jam di rumahnya, di Taman Melewar melihatkan beliau seorang ibu yang mesra, tidak sombong dan tidak menyimpan dendam.

Rasa diri terlalu kerdil untuk duduk menghadap tokoh Ibu Mithali serta pimpinan Muslimat yang disegani lawan dan rakan. Ketika bersalam dan memeluknya, terasa seolah-olah memeluk seorang ibu yang sudah lama tidak dikunjungi.

Berpengalaman sebagai seorang guru pendidikan Khas menengah dan guru agama menyebabkan beliau lebih terkenal dengan ketegasan ketika memimpin DMPP.

Justeru, beliau mengingatkan ahli PAS khususnya Muslimat Islam perlu orang yang cerdik, orang yang boleh merancang dan bukan melakukan kerja untuk mencari kepentingan diri.

Katanya, Islam perlu kerja berstrategi dan Islam perlu golongan cerdik pandai untuk memberi pandangan supaya Islam terus dihormati dan dimuliakan.

Keberanian beliau menyebabkan Dato’ Seri Bentara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat memilihnya untuk diangkat sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) dari tahun 1997 hingga 2003.

Walaupun beliau dilebelkan `garang’ oleh sebilangan Muslimat namun beliau dapat memahami jiwa anak muda dan telah berjaya dibawa masuk dalam Muslimat.

Ketika Mak Lah menjadi Naib DMPP semasa Almarhumah ustazah Wan Asma’ Wan Abdul Kadir menjadi Ketua, beliau diberi kepercayaan mendekati pelajar IPTA untuk menerangkan dasar perjuangan PAS.

“Mak Lah masuk ke kampus jumpa pelajar-pelajar IPTA. Di samping menjadi pendakwah bebas yang sentiasa bergerak di surau dan masjid sekitar Lembah Kelang dan guru agama bebas di Jabatan Kerajaan,” katanya.

Beliau yang terkenal dengan ketegasan tidak suka Muslimat yang teragak-agak untuk berjuang. Beliau gemar mendekati generasi muda untuk dididik menjadi pelapis kepimpinan.

“Alhamdulillah, Mak Lah dapat melahirkan profesional, akademik dan golongan ilmuan yang ramai. Walaupun Mak Lah dah tinggalkan DMPP tapi puas hati sebab memimpin DMPP dalam jangka masa yang panjang,” katanya.

Beliau menasihatkan Muslimat yang terlibat dengan politik perlu banyak membaca dan tidak boleh hanya fokus kepada parti saja. Muslimat perlu melihat perkembangan yang sedang bergolak dalam negara.

Muslimat tidak ada alasan untuk duduk sesama mereka saja kerana Muslimat merupakan suara dan lidah untuk membawa Islam diterima seluruh dunia.

Mak Lah yang banyak pengalaman itu mahu Muslimat yang menjadi pemimpin mesti ada hala tuju yang jauh dan jelas dan mempunyai karier boleh memimpin.

Ini kerana katanya, bukan semua orang boleh memimpin dan ahli serta pengikut akan melihat hala tuju seorang pemimpin.

“Menjadi Ketua kena ada prinsip, kena ambil semua pandangan dan mesti berani membuat keputusan. Pemimpin mesti berani mengarah exconya menjalankan tugas walaupun ia berhadapan dengan pelbagai risiko,” tegasnya.

Di zaman kepimpinan beliau, Unit Amal Nisa’ ketika itu dipengerusikan Normah Alwi lebih terserlah dan berani membuat program luaran.

Beliau mencetuskan idea untuk mewujudkan Nisa’ berdasarkan keberanian Asma’ Abu Bakar yang sanggup membawa makanan untuk ayahnya dan Rasulullah ke gua Thur di tengah-tengah ratusan askar.

Asma’ juga katanya telah membelah dua tali pinggang, satu diikat pada makanan dan satu dipakai. Rasullah ketika menerima makanan daripada Asma’ berkata, Ya Asma’, engkau akan dipakaikan tali pinggang emas dalam syurga nanti disebabkan keberanian engkau menyampaikan makanan kepada kami’.

Rumusan daripada sejarah itu katanya, hala tuju Nisa’ perlu melahirkan muslimat yang berani untuk bertemu masyarakat di semua peringkat. Peranan Nisa’ bukan untuk melahirkan puteri yang lemah lembut tetapi perlu melihat pada situasi yang lebih mencabar.
______________________________________________________________
Penulis ialah wartawan Harakah. Dipetik daripada http://mindakhalifah.blogspot.com/


Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: